20 September 2019 - 01:46
Pertemuan Komuniti Syiah Malaysia Dan SUHAKAM

Para aktivis dan beberapa perwakilan daripada masyarakat Syiah Mlaysia pada hari ini bertemu dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia yang diwakili Tuan Pesuruhjaya Joseph Jerald bagi membincangkan isu serbuan di pusat-pusat komuniti mereka serta tindakan ganas pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan PDRM ke atas para peserta majlis Muharram.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para aktivis dan beberapa perwakilan daripada masyarakat Syiah Malaysia pada hari semalam bertemu dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia yang diwakili Tuan Pesuruhjaya Joseph Jerald bagi membincangkan isu serbuan di pusat-pusat komuniti mereka serta tindakan ganas pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan PDRM ke atas para peserta majlis Muharram.

Pertemuan dua jam itu berlangsung di Bangunan SUHAKAM pada jam 1.00 petang hingga jam 3.00 petang dan disertai oleh beberapa figur penting daripada kalangan aktivis serta penggiat dalam masyarakat Syiah Malaysia termasuk Haji Kamil Zuhairi sendiri. Delegasi mereka turut disertai oleh aktivis dari Kluang yang sebelum ini turut berhadapan dengan isu yang sama.

Mereka menyatakan rungutan terhadap tindakan pihak penguatkuasa yang menurut mereka telah melanggar hak asasi manusia ketika serbuan yang berlaku pada awal bulan Muharram.

Komuniti Syiah Malaysia sepertimana sebahagian umat Islam lain di seluruh dunia memperingati sepuluh hari terawal bulan Muharram sebagai hari yang menandakan pembunuhan cucunda Nabi s.a.w, iaitu Imam Hussein a.s di tangan Bani Umayyah.

Serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada serbuan yang dilancarkan oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia sepanjang sepuluh hari pertama bulan Muharram. Operasi lain menyaksikan pusat komuniti Syiah yang dioperasikan oleh warga asing di Malaysia turut diserbu oleh badan-badan berkaitan.

Di dalam pertemuan tersebut, SUHAKAM telah berjanji untuk menyiasat semua kes berkaitan komuniti Syiah Malaysia yang telah diadukan kepada mereka. Selain daripada itu, mereka juga telah menyampaikan beberapa saranan kepada komuniti tersebut.

Salah satu daripada saranan SUHAKAM ialah pihak komuniti itu perlu mencari peluang untuk berdialog dengan pihak berkaitan dalam rangka memperbaiki situasi mereka.

SUHAKAM juga mencadangkan supaya mereka bertemu dengan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia OIC di Malaysia untuk membawakan isu yang sama.

Selain daripada itu, Tuan Joseph Jerald turut menyarankan komuniti tersebut untuk menyertai pelbagai persidangan hak asasi manusia. Perkara itu diharapkan mampu membantu komuniti tersebut dalam proses menuntut hak mereka dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, isu berkaitan dengan pengikut ajaran Syiah amat rumit di Malaysia dan kewujudan fatwa khusus berkaitan isu ini menjadikan perkara itu lebih sukar untuk ditangani.

Di sebalik semua itu, pihak beliau berkata bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan berkaitan dengan teliti.

Malaysia khususnya di Selangor dan Johor menyaksikan serbuan demi serbuan dibuat ke atas komuniti Syiah di sebalik janji kerajaan pusat yang ingin mempromosikan Islam moderat di bawah slogan "Rahmatan lil 'alamin". - ABNA24